HAJAH Bibi Sabariah Bt. Hj. Abang Awet menggunakan nama samaran Beb Sabariah, lahir di Kampung Hulu Pusa Saribas, Bahagian Betong pada 7 November 1949. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Pusa Saribas (Darjah 1-4) dan SRK Enche’ Buyong Kuching (Darjah 5-6) dan pendidikan menengah di Madrasah Melayu (dulu dikenali James Brooke Malay College) Tingkatan 1-3, kemudian keseluruhan pentadbiran sekolah tersebut berpindah ke SMK Green Road sehingga mendapat sijil Senior Cambridge tahun 1966.

Memperolehi Diploma Pendidikan Guru dalam jurusan Sains, Muzik dan Matematik dari Maktab Perguruan Rajang, Bintangor (1968-1969), dan Ekonomi Rumah Tangga dari Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Baharu (1987). Beliau pernah mengajar di SK Semarang, Saribas (sebagai Guru Sandaran tahun 1967), Sekolah Combined Beladin (first posting setelah tamat latihan perguruan)1970-1971, SMB St.Augustine Betong(1972-1973) dan SMK Tun Abang Haji Openg Kuching (1974-1986). Tahun 1988-1994 beliau bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Simpang Tiga selaku Penyelia Sekolah, kemudian bertugas sebagai Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid di SRB St. Teresa, Kuching dari 1995-2000. Pada tahun sama berpindah pula menjadi Penyelia Petang di SRK Semariang, Petra Jaya, Kuching 2000-2001 dan kemudian menjawat Penolong Kanan Kurikulum sehingga bersara pada tahun 2005. Sepanjang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran beliau juga memegang jawatan Penyelia Ekonomi Rumah Tangga Negeri Sarawak selama tujuh tahun.

Minat menulis sejak dari bangku sekolah lagi sehingga ke maktab perguruan dalam genre cerpen, puisi, esei, rencana dan kritikan namun karya beliau hanya mula disiarkan di akhbar tempatan seperti Utusan Sarawak dan akhbar perdana Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Utusan Melayu Mingguan (Jawi) dan Majalah Wanita dari tahun 1999 hingga sekarang. Kini ahli KEPEZI, (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) dan Ahli Jawatankuasa PEKASA (Persatuan Karyawan Sarawak) sejak ditubuhkan tahun 2005, namun menjadi ahli biasa kebelakangan ini.

Pengiktirafan manis bagi beliau adalah apabila menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pendidikan 1996, Anugerah Penghargaan Penulis Sarawak selama tiga kali tahun 2001 (puisi), 2008 (cerpen) dan 2009 (cerpen) dari Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan Naib Johan Sayembara Menulis Cerpen sempena sambutan 50 tahun DBP. Selain itu menerima Pingat Pangkuan Negara dari Yang Di Pertuan Agung pada 27 Januari 2004 di Istana Negara Kuala Lumpur merupakan pengalaman paling manis serta Pingat Perkhidmatan Setia dari Kerajaan Negeri 2003.



Saturday, December 27, 2008

Memanfaatkan Ruang dan Masa.

ADA banyak juga manfaatnya berada dalam ‘musim jerebu’ sekitar 1997-1999. Pada masa-masa tertentu keadaan di segenap pelusuk negara diselubungi asap berjerebu sehingga ke tahap indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 800. Ini disebabkan pembakaran hutan oleh petani pindah seperti di Sarawak serta pembakaran hutan berleluasa di negara jiran seperti Sumatera bagi Semenanjung. Pada masa itulah terpaksa terperuk sahaja dalam rumah bagi mengelak daripada terkena penyakit mata, sakit paru-paru dan seumpamanya. Hendak ke pasarpun rumit jauh sekali untuk pergi berwisata. Masa itu saya mempunyai banyak masa melayari internet. Saya masuk sembang sastera dalam Forum Kelab Maya Sastera Malaysia (KMSM), selain itu Kelab Maya Sastera Sarawak (KMSS) serta Sarawak Talk.
Secara kebetulan saya ‘bersua’ beberapa penulis menggunakan nama samaran antaranya Uyauyi dan Ohlala. Kami bersembang dan usik mengusik (dalam batas judul forum tentunya) lalu kami semakin akrab walaupun hanya bersua di alam siber. Cakap punya cakap kata orang rupa-rupanya saya bertemu penulis dan ‘author’ buku yang sudah banyak kali naik podium menerima hadiah dan anugerah hasil penulisan masing-masing. Apabila tingkap pengenalan diri semakin tersingkap barulah saya dapat tahu rupa-rupanya Uyauyi itu Zaharah Nawawi (ZN), penulis tersohor, pengarang besar tanah air juga penerima Anugerah S.E.A Writes (1996) di Bangkok dan Ohlala rupa-rupanya Azmah Nordin novelis Sabah yang juga amat prolifik. Hati saya menjerit keseronokan kerana bukan mudah ‘bertemu’ pengarang yang sudah ada nama tambahan pada masa itu, saya amat memandang tinggi profesion penulis apatah lagi yang bergelar pengarang@novelis. Ya Allah, seronok dan untungnya saya (kerana sekian lama mengimpi jadi penulis dan pengarang dan kedudukan ZN bagi saya bagaikan bintang di langit tinggi)! Saya semakin teruja. Lalu saya mengantur langkah berjumpa Uyauyi (sempena nama manja dua ekor anak kucing manja beliau, Uya dan Uyi). Ohlala, sayang sekali belum pernah bersua muka walaupun banyak kali mengunjungi Kota Kinabalu dan bertanya-tanya kenalan lain. Saya menjadi ahli Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) mulai tahun 2002 apabila menyertai bengkel penulisan karya kreatif bimbingan beliau di Rumah PENA. Semenjak itu telah menghasilkan beberapa cerpen yang turut disiarkan di akhbar Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Utusan Melayu Mingguan, Dewan Sastera, Majalah Wanita selain akhbar tempatan Utusan Sarawak yang mana kini sedang dikompilkan untuk Kumpulan Cerpen pertama saya berjudul Mawar Magenta (dalam proses terbitan DBP). Melalui bimbingan beliau juga sekumpulan 14 ahli KEPEZI telah berjaya menghasilkan novel masing-masing dengan dana DBP dan diterbitkan pada pertegahan 2007 hingga awal 2008. Saya amat berterima kasih kerana memberi bimbingan serta mengedit novel TIRANI (24 bab) saya dari awal bab hingga bab akhir dengan 350 halaman. Selain itu, dengan kerjasama DBP, ZN telah banyak ‘menghasilkan’ penulis baru selain memantapkan penulis lama melalui beberapa siri bengkel bimbingan di merata tanah air. Saya amat berterima kasih kepada kedua-dua penganjur iaitu DBP pusat juga cawangan dan sudah tentu KEPEZI. Selain itu saya berterima kasih kepada sifu terawal saya Jais Sahok, pembimbing penulisan cerpen, Saiee Driss genre puisi dan Hazami Jahari dalam penulisan rencana. Moga guru-guruku diberkati Allah sepanjang masa. Saya juga tak lupa kenalan lain di alam siber, Abang Long, Cotigogilo, Hasyuda, Ramli A.Rahim, Nanang dll. Selamat menyambut Maal Hijrah 1430H/29 Disember 2008.

1 comment:

Nancy said...

Bibi Sabariah

Sounds like a great book. I need to see if I can find a copy. Amazon.com, I think

Get in touch if you can

Nancy
nancy@galgard.com