HAJAH Bibi Sabariah Bt. Hj. Abang Awet menggunakan nama samaran Beb Sabariah, lahir di Kampung Hulu Pusa Saribas, Bahagian Betong pada 7 November 1949. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Pusa Saribas (Darjah 1-4) dan SRK Enche’ Buyong Kuching (Darjah 5-6) dan pendidikan menengah di Madrasah Melayu (dulu dikenali James Brooke Malay College) Tingkatan 1-3, kemudian keseluruhan pentadbiran sekolah tersebut berpindah ke SMK Green Road sehingga mendapat sijil Senior Cambridge tahun 1966.

Memperolehi Diploma Pendidikan Guru dalam jurusan Sains, Muzik dan Matematik dari Maktab Perguruan Rajang, Bintangor (1968-1969), dan Ekonomi Rumah Tangga dari Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Baharu (1987). Beliau pernah mengajar di SK Semarang, Saribas (sebagai Guru Sandaran tahun 1967), Sekolah Combined Beladin (first posting setelah tamat latihan perguruan)1970-1971, SMB St.Augustine Betong(1972-1973) dan SMK Tun Abang Haji Openg Kuching (1974-1986). Tahun 1988-1994 beliau bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Simpang Tiga selaku Penyelia Sekolah, kemudian bertugas sebagai Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid di SRB St. Teresa, Kuching dari 1995-2000. Pada tahun sama berpindah pula menjadi Penyelia Petang di SRK Semariang, Petra Jaya, Kuching 2000-2001 dan kemudian menjawat Penolong Kanan Kurikulum sehingga bersara pada tahun 2005. Sepanjang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran beliau juga memegang jawatan Penyelia Ekonomi Rumah Tangga Negeri Sarawak selama tujuh tahun.

Minat menulis sejak dari bangku sekolah lagi sehingga ke maktab perguruan dalam genre cerpen, puisi, esei, rencana dan kritikan namun karya beliau hanya mula disiarkan di akhbar tempatan seperti Utusan Sarawak dan akhbar perdana Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Utusan Melayu Mingguan (Jawi) dan Majalah Wanita dari tahun 1999 hingga sekarang. Kini ahli KEPEZI, (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) dan Ahli Jawatankuasa PEKASA (Persatuan Karyawan Sarawak) sejak ditubuhkan tahun 2005, namun menjadi ahli biasa kebelakangan ini.

Pengiktirafan manis bagi beliau adalah apabila menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pendidikan 1996, Anugerah Penghargaan Penulis Sarawak selama tiga kali tahun 2001 (puisi), 2008 (cerpen) dan 2009 (cerpen) dari Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan Naib Johan Sayembara Menulis Cerpen sempena sambutan 50 tahun DBP. Selain itu menerima Pingat Pangkuan Negara dari Yang Di Pertuan Agung pada 27 Januari 2004 di Istana Negara Kuala Lumpur merupakan pengalaman paling manis serta Pingat Perkhidmatan Setia dari Kerajaan Negeri 2003.



Wednesday, June 25, 2008

Alergi Rinduku

Sekilas hidup menatang kenang
dari hayat sekelumit jasadi
membesar bersama fitrah diri
subur dengan baja pengalaman
tenang menyerap pahit
mekar dalam berat
menggumpal sukar
menyemarak hidup menunjang amanat
melakar cinta dari benih ke tunas
memayungi hijau banimu
dengan rimbunan kasih melimpah
tiada kata keluh tiada kesah
sepanjang kaubina pagar tegar
cegar mengelak onak mengalih payah
pun masih kaumelakar senyum
mengukir syukur.

Ketika separuh meraih tuaian
saat menakah menang
kauterima janji benar-Nya
akur akan seru-Nya
hijrah ke kebun abadi
pergi bertamu damai
mendamba suci dari duri-duri dosa.

Dengan iringan doa
dan sayup Al Fatihah
kuhantar dengan pandangan pinar rasa
untuk kautenang selamanya
berada di sisi Rabbi.

Bagaikan menutup hikayat
di hujung halaman
kautinggalkan duniamu
pasrah kuiring reda
luhur doa kudus penghujung tahlil tujuh
detak ini terasa terlakar
rindu semakin menjauh
mendakap sayang membendung sayu
kenang bersama menyelinap rasa.

Begitu berakhir suratan hidup
hanya tuntutan menyambung memori
jangan alpa mengintai dalam sujud waktu
menyisih doa saling Jumaat mengungkap Yaa-sin
dan menepati hol semasa beralih takwim
hendaknya begitu menutup lembaran hayat
agar hadirmu dirasai
selamanya.


(Al Fatihah buat abang; Abang Shamsuddin Hj Abang Awet 25 Rabiulawal 1429)

Tuesday, June 10, 2008

Kupasan Novel Tirani oleh Saudara Saiee Driss

Acara : Wacana Ilmu sempena Pelancaran Buku Kepezi
Tarikh : 7 Jun 2008
Tempat : Dewan Seminar, Tingkat 2, Menara Dewan Bahasa & Pustaka

Novel Tirani karya Beb Sabariah saya kupas dengan tajuk "Menyingkap Rahsian Tirani dengan Kaca Mata Femenisme" adalah juga tentang dilema seorang wanita dalam industri, iaitu industri pelancongan di Sarawak, khususnya perusahaan penginapan chalet dan homestay.

Inti cerita ialah obsesi Waheeda mahu menjadi seorang cantik dan berhidung mancung kerana hidung asalnya pesek, dan obsesinya untuk mencapai kemajuan atas nama dirinya dalam bidang pelancongan sehingga mengabaikan batas-batas pergualan sebagai isteri (mengikut Zahid suaminya).

Untuk menjadi cantik Waheeda yang kebetulan hidungnya digigit monyet melakukan pembedahan rekonstruksi atau pembinaan semula wajahnya dengan memasang hidung palsu menjadikannya hidungnya mancung dan cantik. Dengan kejayaannya menjadi cantik datang jugalah kejayaannya dalam bidang perusahaannya apa lagi suaminya adalah anak seorang rakan niaganya, Datuk Yaser.

Kedua-dua kejayaan Waheeda yang pada perkiraan lojika manusiawi sudah boleh menghasilkan kejayaan besar sebenarnya tidak menjadi kerana apa yang diperlehinya itu yang merosakkan kehidupannya. Kecantikannya itu menyebabkan tugasnya bertambah berat dan harapan orang terhadapnya melambung tinggi sehingga tidak larat dia mengisinya.Kejayaannya berkahwin dengan seorang peguam sarjana dari Amerika yang kebetulan adalah anak Datuk Yaser juga gagal walaupun pada perkiraan biasa wajar berjaya dan membahagiakan.

Bagaimanapun Beb Sabariah, seorang Ahli Jawatankuasa Pesaka, ahli aktif KEPEZI dan seorang bekas peserta Kursus Asas penulisan GPPS pada tahun 1998, harus diberi sekalung bunga tanda kejayaan kerana dapat menghasilkan sebuah novel yang indah dan rapat dan jitu jalinan plot dan isinya.

Dalam novel itu cinta Waheeda terhadap suaminya begitu mendalam sehingga jatuh sakit jiwa setelah diceraikan oleh suaminya, dan tekadnya untuk berjaya dan berdikari dalam bidang pelancongan dengan menguruskan sebuah homestay di Matang juga begitu mendalam sehingga berlaku pertembungan amat tragis di antara kedua-duanya, apabila Zahid mencemburui dan syak wasangka terhadap tingkah laku isterinya.


Gambar : Bersama isteri Saiee Driss, Mary Hayati Lam

`


~ Sumber : Laman Blog Saiee Driss ~



Wednesday, June 4, 2008

Melihat Mawar Magenta Berkembang

NAMA Beb Sabariah mungkin sedikit terlindung dalam lautan manusia yang bergelar penulis di media arus perdana terutama di Semenanjung. Namun bagi penulis dan peminat sastera Sarawak, nama ini cukup gah menghiasi laman kecintaan yang indah itu melalui aktiviti sastera mahupun karya-karyanya.

Seperkara yang cukup istimewa bagi Beb Sabariah yang dikenali masyarakat setempat sebagai Cikgu Bibi biarpun meminati bidang penulisan sastera sejak zaman persekolahan dan maktab perguruan, namun beliau benar-benar menceburi bidang ini hanya pada tahun-tahun akhir kerjayanya sebagai Guru iaitu tahun 2000 dengan cerpennya Rakan Siber @ disiarkan di Mingguan Sarawak.

Sebagai penulis negeri, Beb Sabariah yang lebih awal berjaya dalam bidang penulisan puisi begitu pantas bertapak dan dapat menguasai rantau nasional. Tidak sampai setahun selepas cerpen pertamanya itu menyusul Surat Untuk Nancy Maimunah-disiarkan di Mingguan Malaysia (2001).

Selepas itu bertalu-talu cerpennya disiarkan media arus perdana peringkat nasional dan negeri seperti Menyusur Galur dalam Berita Minggu 14.7.2002, Forum Wanita (Mingguan Malaysia 25.8.2002), Mahkota Di Payang Puri (Mingguan Sarawak 29.2.2004), Di Multazam Rindu Terlerai (Utusan Melayu Mingguan 30.5.2003), Pesanan (Berita Minggu 27.4.2003) Menunggu Mawar Magenta (Majalah WANITA keluaran Februari 2005), Ayah Bagi Balik Tangan 'Ain (Wadah Yang Indah Itu Bahasa/DBP-Utusan Sarawak 27.3.06) dan PM-A Lwn PM (Utusan Sarawak 3.11.2006).

Setiap insan berjiwa seni lazimnya akan terus berusaha menggilap dan meningkatkan kemampuan seninya. Begitu juga Beb Sabariah. Beliau tidak hanya berpuas hati dengan tahap pencapaian yang ada. Bagi mengukur setakat mana kejayaan dapat dicapai dan sejauh mana kakinya boleh melangkah, beliau memasuki pertandingan cerpen sempena ulang tahun DBP 50 tahun peringkat negeri Sarawak.

Penyertaan Beb Sabariah tersebut membuktikan kemampuannya memang tidak lagi wajar dipertikai setelah beliau meraih tempat kedua dengan cerpennya berjudul Mahligai Seri Gading. Selain cerpen dan puisi, Beb Sabariah juga menulis genre novel dan cerpen kanak-kanak. Novel pertama beliau berjudul Tirani (sedang dalam proses penerbitan) merupakan projek penulisan novel Bahagian Penerbitan DBP Kuala Lumpur dengan Kelab Penulis Zaharah Nawawi (Kepezi) yang Beb Sabariah menjadi seorang ahlinya. Sebagai ahli Kepezi, dua buah cerpen Beb Sabariah juga pernah diantologikan. Cerpen Rakan Siber @ dalam Antologi Cerpen Kepezi Satu dan Menyusur Galur dalam Antologi Cerpen Kepezi Dua.

Dalam menggarap hasil-hasil karyanya Beb Sabariah merupakan penulis yang cukup peka dengan segala peristiwa yang berlaku di sekitar. Sesetengah penulis gemar mengangkat cerita daripada peristiwa yang benar-benar terjadi, sama ada pada diri sendiri mahu pun keluarga dan sahabat handai. Berbanding dengan Beb Sabariah, beliau boleh mengolah karya hanya berdasarkan berita yang dibaca atau ditontonnya melalui media cetak dan elektronik. Cerita digarap bersungguh dengan dibumbui bahan-bahan berharga iaitu ilmu bantu yang diperolehi melalui internet dan hasil pembacaan yang cukup luas; juga beliau memanfaatkan sebaik-baiknya warna kehidupan dan budaya masyarakat setempat. Misalnya novel Tirani yang mengangkat tema pelancongan di Sarawak, novel ini diperkaya dengan adat perkahwinan daripada merisik, bertunang sehingga kepada hari persandingan; selain permasalahan yang cukup jauh untuk diselami iaitu soal pembedahan plastik untuk kecantikan. Menyentuh sekilas tema yang menterasi cerpen-cerpen Beb Sabariah dalam kumpulan Mawar Magenta ini, ternyata hampir tiada isu yang sama diangkat untuk menyemarakkan minat pembaca, dalam karya-karyanya.

Beb Sabariah mendapat ilham menulis cerpen Surat Untuk Nancy Maimunah apabila perasaan marahnya begitu bergejolak tatkala serangan Amerika ke atas Afghanistan dan Iraq dilancarkan. Cerpen Rakan Siber@ pula berkaitan kegilaan rakyat negara ini apabila dilanda kebanjiran pc dengan kemudahan berhubungan melalui dunia siber biarpun hanya antara jiran di sebelah rumah. Menyusur Galur sesuai dengan judulnya cerpen ini mengetengahkan cerita anak angkat yang ingin mencari ibu bapa kandungnya setelah tidak berpuas hati dengan kasih sayang yang diberikan ibu angkatnya. Setelah dia dibawa menemui ibu kandungnya, gadis berkenaan kembali ke pangkuan ibu angkat. Nusaibah pula biarpun hanya cerita klise mengenai wanita yang tertipu oleh sikap baik seorang lelaki yang ingin mengahwininya, namun sarat dengan falsafah dan kasih sayang ayah terhadap anak. Sementara Menunggu Mawar Magenta yang sebahagian judulnya diangkat menjadi tajuk kumpulan cerpen ini adalah cerita seorang dari sebuah pertubuhan sukarela yang diberikan tugas menjemput seseorang tokoh ternama di lapangan terbang. Pengalaman tokoh tersebut ditahan pihak imigresen kerana tiada membawa pengenalan diri mampu diangkat oleh penulis ini menjadi cerita lucu. Beberapa contoh cerpen di atas (sekadar mengangkat beberapa buah) untuk dijadikan panduan memperlihatkan betapa pekanya penulis Beb Sabariah terhadap setiap yang berlaku di sekitarnya. Kepakaan beginilah yang seharusnya ada pada setiap penulis.

Seperkara yang cukup menarik mengenai penulis wanita gigih ini, semua karya cerpennya mengambil latar tempat tempatan di Sarawak. Pendedahan begini amat sesuai sekali apabila dibaca oleh pembaca di peringkat nasional yang tidak banyak sedikit dapat memperkenalkan sosiobudaya Sarawak secara tidak langsung melalui karya sastera.

Meneliti karya-karya Beb Sabariah, kita dapat membuat kesimpulan yang konkrit: Inilah hasil kerja penulis yang mempunyai ilmu dan terdidik dalam bidang berkenaan. Satu kebanggan dan pujian yang harus diberikan kepada Beb Sabariah yang pernah bertugas sebagai pendidik selama 35 tahun ini, beliau bermula lewat dalam bidang penulisan biarpun minat bercambah dalam usia remajanya. Dengan ini Beb Sabariah berjaya membuktikan usia bukanlah ukuran kejayaan atau kegagalan bagi seseorang penulis kerana yang paling utama ialah kesungguhan serta ilmu yang dipelajari secara khusus melalui bengkel-bengkel yang banyak diadakan secara formal di negara ini; apatah lagi jikalau mengikuti pengajian ilmu sastera dan penulisan di pusat-pusat pengajian tinggi.

Kehadiran Beb Sabariah di arena kesusasteraan adalah umpama menyaksikan setaman mawar magenta berkembang mewarnai dunia penulisan yang selalu banyak cabarannya. Dan dalam cabaran yang silih berganti ‘mawar magenta’ yang satu ini berjaya muncul di tengah sekian banyak mawar-mawar lain yang pelbagai warna namun tetap mempunyai bau yang satu: harum semerbak menyegarkan alam.

~ Zaharah Nawawi ~
USJ Selangor 9 Feb. 2007