HAJAH Bibi Sabariah Bt. Hj. Abang Awet menggunakan nama samaran Beb Sabariah, lahir di Kampung Hulu Pusa Saribas, Bahagian Betong pada 7 November 1949. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Pusa Saribas (Darjah 1-4) dan SRK Enche’ Buyong Kuching (Darjah 5-6) dan pendidikan menengah di Madrasah Melayu (dulu dikenali James Brooke Malay College) Tingkatan 1-3, kemudian keseluruhan pentadbiran sekolah tersebut berpindah ke SMK Green Road sehingga mendapat sijil Senior Cambridge tahun 1966.

Memperolehi Diploma Pendidikan Guru dalam jurusan Sains, Muzik dan Matematik dari Maktab Perguruan Rajang, Bintangor (1968-1969), dan Ekonomi Rumah Tangga dari Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Baharu (1987). Beliau pernah mengajar di SK Semarang, Saribas (sebagai Guru Sandaran tahun 1967), Sekolah Combined Beladin (first posting setelah tamat latihan perguruan)1970-1971, SMB St.Augustine Betong(1972-1973) dan SMK Tun Abang Haji Openg Kuching (1974-1986). Tahun 1988-1994 beliau bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Simpang Tiga selaku Penyelia Sekolah, kemudian bertugas sebagai Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid di SRB St. Teresa, Kuching dari 1995-2000. Pada tahun sama berpindah pula menjadi Penyelia Petang di SRK Semariang, Petra Jaya, Kuching 2000-2001 dan kemudian menjawat Penolong Kanan Kurikulum sehingga bersara pada tahun 2005. Sepanjang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran beliau juga memegang jawatan Penyelia Ekonomi Rumah Tangga Negeri Sarawak selama tujuh tahun.

Minat menulis sejak dari bangku sekolah lagi sehingga ke maktab perguruan dalam genre cerpen, puisi, esei, rencana dan kritikan namun karya beliau hanya mula disiarkan di akhbar tempatan seperti Utusan Sarawak dan akhbar perdana Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Utusan Melayu Mingguan (Jawi) dan Majalah Wanita dari tahun 1999 hingga sekarang. Kini ahli KEPEZI, (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) dan Ahli Jawatankuasa PEKASA (Persatuan Karyawan Sarawak) sejak ditubuhkan tahun 2005, namun menjadi ahli biasa kebelakangan ini.

Pengiktirafan manis bagi beliau adalah apabila menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pendidikan 1996, Anugerah Penghargaan Penulis Sarawak selama tiga kali tahun 2001 (puisi), 2008 (cerpen) dan 2009 (cerpen) dari Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan Naib Johan Sayembara Menulis Cerpen sempena sambutan 50 tahun DBP. Selain itu menerima Pingat Pangkuan Negara dari Yang Di Pertuan Agung pada 27 Januari 2004 di Istana Negara Kuala Lumpur merupakan pengalaman paling manis serta Pingat Perkhidmatan Setia dari Kerajaan Negeri 2003.



Sunday, August 30, 2009

Syukur Dapat Menikmati Dunia Malaysia Setakat ini....Salam Kemerdekaan

TABUH 52

Kita harus tahu berterima kasih

Budi pengasas

Merintis jalan sukar menuju merdeka

Membidik nikmat mensasar makmur

Menuai emas kesyukuran

Menempuh kini

Separuh kurun kian selesa

Betapa adab dalam tamadun

Menyedar kita

Melayak tatang daulat di bumi sendiri.

Kita harus faham dalam mengingati

Siapa tunjang menyiah puing

Melurus jalan membina damai

Mencorak maju bangsa kita

Seperti adanya kini.

Kita harus menatang kenang

Keringat bakti sewangi dupa

Menyemarak harum sempurna

Membina sarana meraih harmoni

Berterima kasih kita mengangkat seru

Oda pujijanji buat pelopor perintis jalan senang

adi wangsa sempurna

segar sentiasa mengiring dekad.

Gegak tegar Tabuh 52

bergenta dalam pembangunan

menyemarak rasa hebat

lantang kita bertepik sorak

selagi sendak menunjang kekal

gema terus menyisih jauh

sejarah gedembai berwajah pucat

sewaktu waktu kita dijadikan batu.

Beb

Kuching/ SARAWAK.

Sempena Hari Merdeka 31 Ogos 2009.

1 comment:

Unknown said...

Salam Ukhuwah

Ramli Abdul Rahim ada di
http://friendismirror.blogspot.com
http://rarwrites.blogspot.com
http://kembaratamantamansyurga.blogspot.com
http://memoirjuruterbangpejuang.blogspot.com