HAJAH Bibi Sabariah Bt. Hj. Abang Awet menggunakan nama samaran Beb Sabariah, lahir di Kampung Hulu Pusa Saribas, Bahagian Betong pada 7 November 1949. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Pusa Saribas (Darjah 1-4) dan SRK Enche’ Buyong Kuching (Darjah 5-6) dan pendidikan menengah di Madrasah Melayu (dulu dikenali James Brooke Malay College) Tingkatan 1-3, kemudian keseluruhan pentadbiran sekolah tersebut berpindah ke SMK Green Road sehingga mendapat sijil Senior Cambridge tahun 1966.

Memperolehi Diploma Pendidikan Guru dalam jurusan Sains, Muzik dan Matematik dari Maktab Perguruan Rajang, Bintangor (1968-1969), dan Ekonomi Rumah Tangga dari Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Baharu (1987). Beliau pernah mengajar di SK Semarang, Saribas (sebagai Guru Sandaran tahun 1967), Sekolah Combined Beladin (first posting setelah tamat latihan perguruan)1970-1971, SMB St.Augustine Betong(1972-1973) dan SMK Tun Abang Haji Openg Kuching (1974-1986). Tahun 1988-1994 beliau bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Simpang Tiga selaku Penyelia Sekolah, kemudian bertugas sebagai Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid di SRB St. Teresa, Kuching dari 1995-2000. Pada tahun sama berpindah pula menjadi Penyelia Petang di SRK Semariang, Petra Jaya, Kuching 2000-2001 dan kemudian menjawat Penolong Kanan Kurikulum sehingga bersara pada tahun 2005. Sepanjang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran beliau juga memegang jawatan Penyelia Ekonomi Rumah Tangga Negeri Sarawak selama tujuh tahun.

Minat menulis sejak dari bangku sekolah lagi sehingga ke maktab perguruan dalam genre cerpen, puisi, esei, rencana dan kritikan namun karya beliau hanya mula disiarkan di akhbar tempatan seperti Utusan Sarawak dan akhbar perdana Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Utusan Melayu Mingguan (Jawi) dan Majalah Wanita dari tahun 1999 hingga sekarang. Kini ahli KEPEZI, (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) dan Ahli Jawatankuasa PEKASA (Persatuan Karyawan Sarawak) sejak ditubuhkan tahun 2005, namun menjadi ahli biasa kebelakangan ini.

Pengiktirafan manis bagi beliau adalah apabila menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pendidikan 1996, Anugerah Penghargaan Penulis Sarawak selama tiga kali tahun 2001 (puisi), 2008 (cerpen) dan 2009 (cerpen) dari Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan Naib Johan Sayembara Menulis Cerpen sempena sambutan 50 tahun DBP. Selain itu menerima Pingat Pangkuan Negara dari Yang Di Pertuan Agung pada 27 Januari 2004 di Istana Negara Kuala Lumpur merupakan pengalaman paling manis serta Pingat Perkhidmatan Setia dari Kerajaan Negeri 2003.



Thursday, July 31, 2008

Memaknakan sebuah kematian: Al-Fatihah Buat S.Othman Kelantan 28 Rejab 1429

Musafir

Kitalah musafir
di alam tenang
mengorak langkah
menjarak tinggal
mendekat tentu
mencari sempurna.

Kitalah musafir
membina mula
sedaya mengota
-Janji Benar-Kenan-Zat-NYA-
sedar menunjang lima
Muda sebelum tua
Sihat sebelum sakit
Kaya sebelum papa
Lapang sebelum sibuk
Hidup sebelum mati.

Musafir kita
dunia biar wasilah
pelintas tuju perjalanan sukar
berhemat menghisab baki
jihad ke arah matlamat
menuju seru musta'id
biar jihat sehala
ke arah abadi
Surga Jannah-Mu.

~Beb Sabariah, 26 Mei 2008.

Sunday, July 13, 2008

Lima Bur

Petang Sabtu 12 Julai 08, saya dengan rombongan YB melawat kawasan beliau P.200 Sadong Jaya di Simunjan menghadiri penutupan Majlis Kesenian Islam. Antara pengisiannya ialah pertandingan Zikir Marhaban, Berzanji, Nasyid, Seni Khat. Dalam ucapan YB antara lain saya tertarik dengan rangkap 'pantun lima baris @ lima bur' beliau (katanya dari seseorang juga) begini:

Pantun lima bur

Kalau mata sudah kabur
Gigi sudah mula gugur
yang sedap adalah bubur
Pil sudah berterabur
yang dekat itu kubur.

Pantun kah gurindam atau apa?
-rasanya sekadar peringatan untuk merebut yang lima sebelum datang yang lima-
`
Salam,
Beb

Mawar Magenta: Melihat Mawar Magenta Berkembang

Waalaikumussalam Hasyuda Abadi,

Terima kasih, moga dapat menyelami alam 'tirani' saya. Saya tak dapat melawat blog, (ikut alamat) Hasyuda ni, kenapa ya?
`
Selamat berkarya
Kak Beb

Beb Sabariah di SMK Batu Kawa








`
```````
Hari ini terasa seronok sedikit, berita bergambar Beb Sabariah di SMK Batu Kawa disiarkan di sebuah laman akhbar Utusan Sarawak (US)31.7.2008. Saya difahamkan juga SMK BK memang mempunyai ramai penulis rencana untuk akhbar atas didikan CJ dan Sdra Radin Azhar, wartawan US, kedua-duanya rakan dalam PEKASA. Tahniah, situasi menang-menang.
~Beb Sabariah

Menjadi Tetamu SMK Batu Kawa

Saya telah menjadi tetamu (tiada rasmi) pelajar-pelajar Cikgu Jais (CJ)di SMK Batu Kawa pada pagi Khamis lepas (10.7.08), pada sesi pelajar berjumpa penulis. Kebetulan ada pameran dan jualan buku di sekolah oleh Sy Sinar Suci, termasuklah novel Tirani antara novel selain buku-buku kerja. Bagi saya, CJ menjemput saya bukan kerana hebatnya saya namun lebih bermatlamat memberi inspirasi kepada pelajar sasteranya bahawa usia bukan penghalang berkarya dan menghasilkan karya. Saya kagum melihat keterujaan pada wajah-wajah muda dan terus terang memaklumkan di mana sahaja CJ berada di situlah pelajar menjadi aktif dengan kegiatan sastera dan perbahasaan, apa lagi beliau munsyi dewan. Persamaan saya dengan mereka, sama-sama pelajar (walaupun saya bekas) CJ.

`

Melawat sekolah mengembalikan nostalgia kecikguan saya. Tidak ada yang baru namun saya hanya tambah tip-tip yang diwajari selaku penulis dan paling menarik, ya, kena rajin membaca terutama Mohd. Kamus (istilah yang CJ gunakan, spontan membuat saya melihat sekeliling kalau-kalau ada lelaki lain di situ masa itu). Pengetua di situ hebat, menjadi pendorong nombor wahid, selain Cikgu Ri, yang menungkap "Inilah pertama kali saya berjumpa author- selain CJlah", dia seronok. Ini mengimbau kenangan pertama kali saya bersua penulis walaupun di alam siber cuma, masa itu tahun 1999, iaitu Zaharah Nawawi dan Azmah Nordin, novelis Sabah yang produktif. {semasa melawat London saya pernah bergambar dengan patung lilin-penulis idola author Agatha Christie-di Madame Thussard (harap ejaannya betul) Museum, justeru mengaitkan langkah pertama bernama minat dengan mutiara kata 'memulakan sesuatu adalah separuh daripada pekerjaan'.Harap Cikgu Ri mengikuti jejak CJ menjadi novelis ++.

Salam sastera,

Beb

Wednesday, July 9, 2008

Cerpen : Jereki

NASIB Kadok Mak dan Kadok Nak tidak seburuk Kadok Pak. Kini kehidupan semakin bahari. Semasa hayat, Kadok Pak sering diperbodohkan dan ditipu. Kehidupan sekeluarga dihimpit perit bukan kepalang. Bukan sahaja tiga beranak ini kehilangan tanah sekangkang kera malah rumah menjadi tempat berteduh juga diambil penguasa tempatan. Itu akibat kena aniaya. Kadok Pak meninggal dunia akibat merana. Lalu Kadok Nak jadi yatim. Bagaikan ingin melupakan zaman perit dizalimi, tidak lagi sanggup tinggal di kampung. Seseorang harus berhijrah menuju kebaikan, desit si anak lulusan sekolah menengah itu. Dari sifar harta, Kadok Mak dan si anak tunggal mengesot ke Bandar.
`
Kadok Mak mengambil upah menjaga tandas. Jerekinya memang di tandas. Membersih tandas memang menjadi tugas utamanya . ‘Apa pun kerja asalkan halal pasti jerekinya diredai Allah juga,’ fikir Kadok Mak. Apatah lagi di mana-mana juga orang bercakap tentang kebersihan tandas. Penilaian dibuat melalui pertandingan. Penarafan dan peniktirafan adalah penganugerahan bintang, jenis lima bintang, tiga bintang, sifar bintang bagi yang paling teruk dan perlu ditangani serius. Segera. Kalau dapat bintang pekerja diberi imbuhan sebulan berdasarkan berapa bintang yang dimenangi. Kalau tidak, bakal mendapat hadiah penyapu daripada penguasa tempatan. Malah ada pihak mencadangkan agar berus tandas dijadikan hadiah. Pastinya untuk tandas yang tidak dapat bintang. Selepas disental berus ia akan bersinar dan mengerlapkan bintang-bintang.

Kadok Mak tidak susah hati. Tandasnya di kawasan dewan Bandaraya memang bersih, dapat dikategorikan lima bintang. Ia memang layak. Lantai, dinding tandas diberus hingga berkilau. Lubang mangkuk pun memancar-mancar, sementelah lagi jubin bahagian singki. Syukur kudrat empat kerat dua beranak mampu menyelaraskan semua sasaran kerja utama, SKU mengikut istilah orang pejabat. Apapun, itulah pejabat Kadok Mak, di bahagian belakang sebuah hospital umum bersebelahan bilik mayat!
~
Pagi itu dia datang selepas cuti demam dua hari. Kebetulan hari itu hari mengundi pilihan raya. Dilihatnya ada meja berlapik tidak jauh dari tandas, SILA TANDATANGAN DI SINI. Kadok Mak akur. Dia menurunkan tanda tangan. Kemudian menulis alamat dan nombor kad pengenalan diri.

“Sejak bila?” getisnya. “Peraturan barukah?” Kadok Mak teringat akan berita tentang tandas awam mesra pengguna Islam disaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. pada sidang media sempena Forum dan Ekspo Tandas; program bersama Majlis Kebersihan Tandas Kebangsaan. Pengasas Pertubuhan Tandas Dunia dari Singapura bercakap tentang budaya penyenggaraan tandas. Pakar kebersihan dari India pula bercakap mengenai kesedaran sivik di kalangan pengguna. Peserta forum daripada arkitek professional, pegawai teknikal pihak Penguasa Tempatan, pendidik, pelajar institut pengajian tinggi dan orang awam hadir dalam majlis yang dirasmi Timbalan Perdana Menteri. Bertemakan slogan ‘Tandas Berkualiti Hidup Berkualiti’. Semua disaran menjaga kebersihan tandas kerana ia cerminan hidup sesuatu keluarga, sesuatu masyarakat umum. Kadok Mak mengimbau berita melalui tv kecil di bilik sewanya yang berukuran 8x6 kaki.

Kadok Mak membias kehidupannya di kampung dulu, ada membela ayam. Kadok Pak pakar menternak ayam laga. Dari baka ayam hutan berbulu merah Gallus Domesticus, Si Kunantan dan Si Kunani membiak anak, yang jantan dijual jadi ayam laga dan betina dibiarkan bertelur dan mengeram. Semua keturunan jantan diberi satu nama, begitu juga betina. Namun Si Kunantan nan seekor menjadi kesayangan Kadok Pak. Permainan melaga ayam sesama rakan sekampung satu-satunya permainan kegemaran walaupun tidak melibatkan pertaruhan. Si Kunantan nyata tidak dapat ditandingi. Berita kehebatan Si Kunantan sampai ke Astana.

“Kadok,” anak raja memujuk, “Bagi beta ayam kamu. Kita bertukar ayam laga bagi majlis dirgahayu ayahanda beta tiga hari lagi. Bagi beta Si Kunantan kamu.”
`
Kadok terkedu. Lidahnya kelu. Mahu tak mahu ayam kesayangan terpaksa bertukar tuan. Lalu diwara-warakan di segenap ceruk kampung tentang perlawanan jaguh-jaguh ayam bakal diadakan. Pertaruhan dengan wang kali ini, besar pula. Kadok Pak menyorok perasaan sedih bukan kepalang akibat berpisah dengan Si Kunantan nan seekor.

“Kita orang kecik, Kadok Pak, kita kena patuh permintaan orang atasan.” Kadok Mak menenteramkan suami. Semakin ditenteram semakin geram Kadok Pak memikirkan kenapa orang Astana mesti menang? Kenapa orang biasa seperti kita tidak boleh mempunyai sedikit kelebihan?"

“Cis!” hatinya memberontak. “Aku akan buat sesuatu! Tengoklah nanti.”

Pada hari pertandingan Kadok Pak diberi penghormatan duduk berdekatan peterana. Bagi menghormati majlis, tetamu-tetamu mengenakan pakaian majlis yang cantik-cantik. Kadok Pak mengena pakaian istimewa iaitu baju kertas, seluar kertas, topi kertas.

Suasana gamat mula memenuhi gelanggang. Sorak-sorakan bergema. Pertarungan laga ayam dimulakan. Si Kunantan mengalahkan seekor demi seekor ayam yang dibawa pembesar jajahan dalam negeri. Si Kunantan nyata tidak dapat dikalahkan. Kadok Pak turut terlompat-lompat seperti juga penyokong-penyokong lain. Kadok Pak taksub dengan kehebatan Si Kunantan.

“Itu bukan ayam kamu lagi. Jangan nak berlagak menang,” begitu Pakmu digonjak. Digonjak-gonjak. “Pakmu semakin bersorak keras. Lalu lengan bajunya carik, badan bajunya juga sobek. Seluar kertasnya pula robek! Topinya terbang entah ke mana. Seluruh badan Kadok Pak terpamer bulat!” Kadok Mak mengimbau sayu. Malu pastinya.

“Lalu anak raja murka melihatnya. Kata pembesar, Kadok Pak tidak menghormati majlis raja. Kadok Pakpun ditangkap,” kata Kadok Mak sambil menggeleng.

“Itulah, kitapun dihalau dari kampung halaman, dibuang negeri! Tapi Pak kamu sememangnya hebat” Kadok Mak menyeka mata. Dia melihat wajah sugul Kadok Nak yang setia mendengar cerita sejarah kehidupannya.

“Pak memang hebat ya Mak?” Kadok Nak terangguk-angguk menacap wajah Maknya.

“Pak kamu sering kali dianggap bodoh, tapi sebenarnya tidak. Pak kamu melawan dengan lembut. Pak kamu tidak rugi apa-apa. Itu hanya strategi dia, mogok jiwa. Majlis raja dimalukan,” Kadok Mak mengangkat muka. Bangga nadanya.

“Kau tengok, bangsa kita sampai sekarang, masih terlalu merendah diri, terlalu tertib, mudah kita dipijak, mudah dipujuk. Bercakap benarpun terlalu berlapis-lapis. Sering disalahertikan. Janganlah asyik ‘baik tuan, baik tuan’. Terlalu bersopan santun akibatnya makan diri.” Kadok Mak mengingatkan Kadok Nak sebelum kembali membuat kerja biasanya. Kadok Nak terkebil-kebil berehat di bilik kecil mengenang akan kebenaran tutur Maknya.
`
Dulu, semasa menggunakan tandas di sini tak perlupun tandatangan di pintu, hari ini lain pula, gesit Kadok Nak. Dia memandang keliling ramai orang pergi ke pusat mengundi yang terletak tidak jauh dari hospital. Benaknya masih diuliti perasaan pelik. Kenapa perlu daftar untuk masuk ke tandas depan tadi? Untuk tunjuk tanggungjawab kita selaku pengguna? Untuk merekod berapa orang pengguna pada satu-satu hari? Atau untuk mengesan pengguna tidak berdisiplin, tidak bertanggungjawab, pengotor?
`
Seseorang berpakaian kemas menghampirinya. “Kamu boleh pilih sama ada hendak tulis nama atau tidak. Pilihan di tangan kamu.” Katanya sambil berlalu. Kalau tulis nama, agaknya senang untuk dikesan siapa pengguna terakhir. Atau jam berapa kepala paip hilang lalu dilihat pada nama; siapa yang masuk tandas pada masa kehilangan didapati berlaku. Sebagai pembersih tandas, apa pula sebabnya dia pun kena tulis nama seperti pelanggan? Persoalan yang berulit di benak Kadok Mak tidak berjawab.

Beberapa orang pengguna datang, terus masuk ke tandas. Selesai urusan dia terus keluar. Sehingga tengah hari, yang sudi menandatangi buku rekod itu hanya Kadok Mak dan Kadok Nak. Yang lain cuma menjeling. Tidak kuasa menulis apa-apa.

Menjaga kebersihan sampai begitu sekali? Begitukah budaya tandas sekarang? Siap dengan nama penuh berserta alamat dan nombor kad pengenalan pula. Ala, lecehnya,’ Kadok Nak pula berfikir. ‘Yang penting lega dapat buang air,’ dia mengimbau bagaimana dia susup-sasap memasuki tandas selepas bersilang bahu dengan pekerja rumah mayat yang sibuk mengurus jenazah. Patutlah ada sebuah keranda di sebelah meja tempat dia menulis nama, dia mengimbau. Tulis nama tulislah, kalau itu peraturan, gesitnya melayan kantuknya.

Kadok Mak dan Kadok Nak pergi mengundi selepas makan tengah hari dan solat zuhur. Kakitangan hospital ramai sudah yang pergi lebih awal. Sebaik balik ke tempat bertugas Kadok Mak dan Kadok Nak dapati buku rekod dan meja serta peti jenazah sudah tiada. Semuanya kembali seperti sedia kala. Sunyi sepi. Sesekali kedengaran bunyi deru air yang dipam pengguna selepas melepaskan hajat. Namun dalam hati Kadok Mak dan Kadok Nak tidak kisah. Jika ada buku dia tulis. Tiada, tidak perlu tulis. Kerja tetap seperti biasa.

Rehat Kadok Nak tiba-tiba terganggu. Suara lelaki yang bercakap-cakap dengan Maknya di luar bilik memancing deria.

“Ke Pejabat Guaman? Apa salah Makku? Amanah raya apa?” Kadok Nak meluru keluar.

“Kita diajak ke pejabat entah,” Kadok Mak menarik tangan Kadok Nak. “Bersama orang ini,” katanya mendongak ke wajah dua lelaki berkemeja kemas. Kedua-dua lelaki itu mengangguk dan tersenyum. Patuh, dua beranak lalu mengambil tempat duduk bahagian belakang kereta Waja hijau tua.

Harap-harap bukan hal jenayah, wajah pucat Kadok Mak menggenggam tangan Kadok Nak. “Ada barang dalam tandas hilang dicuri orangkah, Mak?” Kadok Nak risau sekali. Dia menggambarkan seluruh ruang kecil yang penting bagi manusia mencari kelegaan membuang hampas mereka. Dalam gambaran benaknya, semua kepala paip, sinki, bekas sabun, bekas tisu, getah paip pembersih, baldi lusuh juga cermin tiga suku usia semuanya dalam keadaan baik.

“Mungkin ada bungkusan dadah disorok pengedar, ditemui dalam tandas jagaan kita.” Kadok Mak memikir sesuatu yang amat menakutkan. Kedua-dua beranak menggigil seperti berada dalam bilik sejuk di bawah paras 0 darjah celsius.

“Ini hal wasiat,” mula pegawai berkot hitam yang duduk di meja utama sebaik berada di Pejabat Advocates Kamil & Jamil sambil menacap wajah dua beranak yang terkesit-kesit diserang rasa takut dan gementar bukan kepalang.

Pegawai yang menjemput tadi juga memandang mereka atas bawah. Seorang lagi asyik mundar mandir memegang gagang telefon bercakap tentang pengkebumian. Kadok Mak dan Kadok Nak semakin gentar dan gusar.

“Begini,” mula pegawai berkot hitam itu, “awak nama Kadok Mak? dan Kadok Nak?” dia minta kepastian daripada wajah-wajah yang diaju tanya, sambil meminta kad pengenalan kedua-duanya.

Dua beranak mengangguk. Kad pengenalan bertukar tangan.

“Ini wasiat si mati: Barang siapa menandatangani buku takziah, dia akan mewarisi sebahagian harta peninggalanku,” peguam itu menarik nafas. “Sebahagian lagi akan diderma kepada badan Kebajikan,” sambungnya tegas.

“Tapi? Dia pasti bukan keluarga Kadok, bukan?” Kadok Mak tidak percaya apa yang didengarnya.

“Atau anak raja bersama si Kunantan nan seekor Pak-ku?” Kadok Nak terpinga-pinga.

Peguam menggeleng. “Nilai hartanya jutaan ringgit.” Dia terangguk-angguk kecil.

“Hah?” terbeliak mata Kadok Mak. Tangannya mengurut dada.

“Aapa?” Kadok Nak ternganga. Dia tidak percaya sama sekali.

“Orang yang berwasiat tidak punya keluarga. Dia tinggal di hotel,” perlahan-lahan Pegawai duduk di sisi dua beranak itu menerangkan. “Nampaknya Kadok Mak dan Kadok Naklah sahaja yang menulis buku tersebut pada pagi kerandanya diletak di sebelah luar tandas hospital tadi. Pengguna lain enggan menurunkan tanda tangan.”

Kadok Nak menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Sukar baginya mempercayai apa yang didengar. “Jereki Nak! Jereki!” Kadok Mak memeluk anak bujangnya. Air mata gembira menitis deras.

Pegawai-pegawai di pejabat guaman itu senyum memerhati gelagat kedua-duanya. “Hidup ini lebih bermakna andai terdetik untuk orang lain,” pegawai di sebelah menacap wajah dua beranak itu.

“Itulah hadiah paling berharga jika bijak membuat pilihan,” Pegawai yang seorang lagi menepuk lunak bahu Kadok Nak yang terkebil-kebil memikir makna kata-kata itu.

###

Glosori

Jereki - dialek tempatan Sarawak-Sabah bermakna rezeki