HAJAH Bibi Sabariah Bt. Hj. Abang Awet menggunakan nama samaran Beb Sabariah, lahir di Kampung Hulu Pusa Saribas, Bahagian Betong pada 7 November 1949. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Pusa Saribas (Darjah 1-4) dan SRK Enche’ Buyong Kuching (Darjah 5-6) dan pendidikan menengah di Madrasah Melayu (dulu dikenali James Brooke Malay College) Tingkatan 1-3, kemudian keseluruhan pentadbiran sekolah tersebut berpindah ke SMK Green Road sehingga mendapat sijil Senior Cambridge tahun 1966.

Memperolehi Diploma Pendidikan Guru dalam jurusan Sains, Muzik dan Matematik dari Maktab Perguruan Rajang, Bintangor (1968-1969), dan Ekonomi Rumah Tangga dari Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Baharu (1987). Beliau pernah mengajar di SK Semarang, Saribas (sebagai Guru Sandaran tahun 1967), Sekolah Combined Beladin (first posting setelah tamat latihan perguruan)1970-1971, SMB St.Augustine Betong(1972-1973) dan SMK Tun Abang Haji Openg Kuching (1974-1986). Tahun 1988-1994 beliau bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Simpang Tiga selaku Penyelia Sekolah, kemudian bertugas sebagai Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid di SRB St. Teresa, Kuching dari 1995-2000. Pada tahun sama berpindah pula menjadi Penyelia Petang di SRK Semariang, Petra Jaya, Kuching 2000-2001 dan kemudian menjawat Penolong Kanan Kurikulum sehingga bersara pada tahun 2005. Sepanjang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran beliau juga memegang jawatan Penyelia Ekonomi Rumah Tangga Negeri Sarawak selama tujuh tahun.

Minat menulis sejak dari bangku sekolah lagi sehingga ke maktab perguruan dalam genre cerpen, puisi, esei, rencana dan kritikan namun karya beliau hanya mula disiarkan di akhbar tempatan seperti Utusan Sarawak dan akhbar perdana Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Utusan Melayu Mingguan (Jawi) dan Majalah Wanita dari tahun 1999 hingga sekarang. Kini ahli KEPEZI, (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) dan Ahli Jawatankuasa PEKASA (Persatuan Karyawan Sarawak) sejak ditubuhkan tahun 2005, namun menjadi ahli biasa kebelakangan ini.

Pengiktirafan manis bagi beliau adalah apabila menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pendidikan 1996, Anugerah Penghargaan Penulis Sarawak selama tiga kali tahun 2001 (puisi), 2008 (cerpen) dan 2009 (cerpen) dari Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan Naib Johan Sayembara Menulis Cerpen sempena sambutan 50 tahun DBP. Selain itu menerima Pingat Pangkuan Negara dari Yang Di Pertuan Agung pada 27 Januari 2004 di Istana Negara Kuala Lumpur merupakan pengalaman paling manis serta Pingat Perkhidmatan Setia dari Kerajaan Negeri 2003.



Tuesday, September 9, 2008

Utusan Maut

Seseorang lelaki telah didatangi oleh malaikat Izrail, iaitu malaikat yang mencabut nyawa.

Lelaki:Adakah kedatanganmu ini sebagai kunjungan biasa atau untuk mencabut nyawaku?
Izrail: Kunjungan biasa.
Lelaki: Demi persahabatan kita, jika telah dekat ajalku nanti, kirimlah utusan untuk memberitahuku.

Suatu hari Izrail datang untuk mencabut nyawanya. Lelaki tersebut terkejut.

Lelaki: Bukankah belum pernah ada utusanmu datang memberitahuku tentang perkara ini?
Izrail: Sudah datang, bahkan beberapa kali. Bukankah tulang punggungmu bongkok padahal sebelum ini lurus. Rambutmu memutih walhal sebelum ini hitam. Suaramu gementar sedang dahulu lantang. Bahkan akhir-akhir ini kau lemah dahulunya kau kuat. Penglihatanmu kabur sedang dahulunya terang. Aku telah mengirim sekian banyak utusan kepadamu padahal kamu hanya minta satu utusan. Oleh itu kamu janganlah menyalahkan aku.

-ingin mengambil iktibar daripada cerita ini-

2 comments:

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

Assalamualaikum... salam singgah salam perkenalan. Saya datang dari Utusan, tanpa senaskhah Utusan Melayu!

tirani said...

Waalaikumussalam,
Persahabatan dapat menggandakan kegembiraan tak kurang juga tempat berkongsian kesusahan, itu kata orang.
Bagus juga berkenalan dengan orang media, mana tau boleh saling memanfaat, kan?
Kak Beb