HAJAH Bibi Sabariah Bt. Hj. Abang Awetmenggunakan nama samaran Beb Sabariah, lahir di Kampung Hulu Pusa Saribas, Bahagian Betong pada 7 November 1949. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Pusa Saribas (Darjah 1-4) dan SRK Enche’ Buyong Kuching (Darjah 5-6) dan pendidikan menengah di Madrasah Melayu (dulu dikenali James Brooke Malay College) Tingkatan 1-3, kemudian keseluruhan pentadbiran sekolah tersebut berpindah ke SMK Green Road sehingga mendapat sijil Senior Cambridge tahun 1966.
Memperolehi Diploma Pendidikan Guru dalam jurusan Sains, Muzik dan Matematik dari Maktab Perguruan Rajang, Bintangor (1968-1969), dan Ekonomi Rumah Tangga dari Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Baharu (1987). Beliau pernah mengajar di SK Semarang, Saribas (sebagai Guru Sandaran tahun 1967), Sekolah Combined Beladin (first posting setelah tamat latihan perguruan)1970-1971, SMB St.Augustine Betong(1972-1973) dan SMK Tun Abang Haji Openg Kuching (1974-1986). Tahun 1988-1994 beliau bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Simpang Tiga selaku Penyelia Sekolah, kemudian bertugas sebagai Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid di SRB St. Teresa, Kuching dari 1995-2000. Pada tahun sama berpindah pula menjadi Penyelia Petang di SRK Semariang, Petra Jaya, Kuching 2000-2001 dan kemudian menjawat Penolong Kanan Kurikulum sehingga bersara pada tahun 2005. Sepanjang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran beliau juga memegang jawatan Penyelia Ekonomi Rumah Tangga Negeri Sarawak selama tujuh tahun.
Minat menulis sejak dari bangku sekolah lagi sehingga ke maktab perguruan dalam genre cerpen, puisi, esei, rencana dan kritikan namun karya beliau hanya mula disiarkan di akhbar tempatan seperti Utusan Sarawak dan akhbar perdana Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Utusan Melayu Mingguan (Jawi) dan Majalah Wanita dari tahun 1999 hingga sekarang. Kini ahli KEPEZI, (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) dan Ahli Jawatankuasa PEKASA (Persatuan Karyawan Sarawak) sejak ditubuhkan tahun 2005, namun menjadi ahli biasa kebelakangan ini.
Pengiktirafan manis bagi beliau adalah apabila menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pendidikan 1996, Anugerah Penghargaan Penulis Sarawak selama tiga kali tahun 2001 (puisi), 2008 (cerpen) dan 2009 (cerpen) dari Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan Naib Johan Sayembara Menulis Cerpen sempena sambutan 50 tahun DBP. Selain itu menerima Pingat Pangkuan Negara dari Yang Di Pertuan Agung pada 27 Januari 2004 di Istana Negara Kuala Lumpur merupakan pengalaman paling manis serta Pingat Perkhidmatan Setia dari Kerajaan Negeri 2003.
Sunday, July 13, 2008
Mawar Magenta: Melihat Mawar Magenta Berkembang
Waalaikumussalam Hasyuda Abadi,
Terima kasih, moga dapat menyelami alam 'tirani' saya. Saya tak dapat melawat blog, (ikut alamat) Hasyuda ni, kenapa ya? ` Selamat berkarya Kak Beb
Cerpen-cerpen yang tersiar dalam Mingguan Malaysia sepanjang Ogos 2002, boleh disimpulkan, dicipta bertemakan cinta. Persoalannya sahaja yang berbagai-bagai. Sempena sambutan Hari Wanita 25 Ogos muncul cerpen Forum Wanita karya Beb Sabariah. Cerpen ini mengambil latar di sebuah dewan mesyuarat. Ahli-ahli mesyuarat pada hari itu semuanya wanita. Cerpen ini berkisar kepada perasaan cinta wanita kepada keadilan untuk wanita sendiri. Wanita tidak mahu ditindas, dikongkong, dianiayai dan dikunci mulut. Wanita-wanita dalam forum ini mahu merdeka daripada sebarang keadaan. Mereka mahu menjadi Faridah Hanum dalam novel Hikayat Faridah Hanum karya Syed Syeikh al-Hadi yang membicarakan tentang emansipasi wanita awal abad ke-20. Hari ini setiap kita didedahkan melalui media massa tentang cerita sumbang mahram, rogol, bunuh, perceraian, penderaan, ugutan dan lain-lain kejadian jenayah yang melibatkan wanita. Justeru, Beb Sabariah tidak selesa dengan perkhabaran buruk serupa ini yang tentunya mengheret sama kaum sejenis dengannya…. Apa yang hendak disampaikan oleh penulis di sini ialah mungkin wanita-wanita selama ini tidak mendapat kebebasan sepenuhnya….begitu bersungguh-sungguhnya para wanita dalam Forum Wanita dalam membela dan memperjuangkan nasib mereka. ~Ibenin Hajar Saad- Mingguan Malaysia 29 September 2002
Cerpen Di Multazam Rindu Terlerai mempunyai kekuatan pada wataknya. Saya suka tajuknya. Tajuk ini bagi saya agak memujuk dan menyebabkan saya ingin terus membacanya hingga selesai. Meskipun tajuknya sudah menyimpulkan keseluruhan kisah (memang itulah fungsi judul), kita sudah boleh menjangka yang latarnya tentulah Baitullah. Namun ada unsur-unsur suspens yang kian meninggi sambil kita membacanya. Saya kutip banyak nilai-nilai murni dalam cerpen ini. Semua dibawa dengan jelas oleh watak-watak yang mendukung ceritanya. Memilih watak yang menjadi pencerita (watak pencerita tidak terlibat langsung dalam subjek cerita) merupakan cara yang bijak kerana watak ini mempunyai lesen untuk memberitahu pembaca apa sahaja melalui ruang waktu yang agak terhad ini. ~Nisah Hj Haron (Novelis dr Seremban)-Forum Kepezi-On-Line 26 Mei 2003.
Tema cerpen ini jenis menongkah arus, jadi temanya tidak klise. Dalam konteks moral memang tidak elok lelaki perempuan tidur sebilik. Namun dari segi penulisan sastera, ada pengajaran/teladan untuk wanita dan lelaki yang menghadapi situasi begini. Terutama untuk yang perempuan, jika tiba-tiba terperangkap dalam bilik mewah (bukan atas kehendaknya) dan jika lelaki yang memerangkap tidak dari jenis ganas dan menceroboh, dia boleh mempertahankan maruahnya seperti dalam cerpen Beb Sabariah; Mahkota Di Payang Puri. ~Zaharah Nawawi(Penerima SEA Write Award 96/Pengasas KEPEZI)- Forum Kepezi-On-Line 8 Mac 2004
Saya bukan manusia jenis yang kuat membaca tetapi menatap tajuk cerpen ini cukup memancing saya untuk menghabiskan pembacaan. Dan saya tidak silap dalam mentafsir cerpen Ayah Bagi Balik Tangan ‘Ain. Ia amat berkesan dan cukup jauh terjahannya sehingga menyentuh kalbu yang terus menghantar mesej kepada mata. Saya amat terharu. Saya rasa ini cerpen terbaik Beb Sabariah yang pernah saya baca. Ia betul-betul menginsafkan manusia yang masih belum mengerti makna pendidikan.Tahniah dari saya. ~Pharo Bin Abdul Hakim (Penyair Sarawak)-Forum Pekasa-On-Line 27 Mac 2006].
No comments:
Post a Comment