HAJAH Bibi Sabariah Bt. Hj. Abang Awet menggunakan nama samaran Beb Sabariah, lahir di Kampung Hulu Pusa Saribas, Bahagian Betong pada 7 November 1949. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Pusa Saribas (Darjah 1-4) dan SRK Enche’ Buyong Kuching (Darjah 5-6) dan pendidikan menengah di Madrasah Melayu (dulu dikenali James Brooke Malay College) Tingkatan 1-3, kemudian keseluruhan pentadbiran sekolah tersebut berpindah ke SMK Green Road sehingga mendapat sijil Senior Cambridge tahun 1966.

Memperolehi Diploma Pendidikan Guru dalam jurusan Sains, Muzik dan Matematik dari Maktab Perguruan Rajang, Bintangor (1968-1969), dan Ekonomi Rumah Tangga dari Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Baharu (1987). Beliau pernah mengajar di SK Semarang, Saribas (sebagai Guru Sandaran tahun 1967), Sekolah Combined Beladin (first posting setelah tamat latihan perguruan)1970-1971, SMB St.Augustine Betong(1972-1973) dan SMK Tun Abang Haji Openg Kuching (1974-1986). Tahun 1988-1994 beliau bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Simpang Tiga selaku Penyelia Sekolah, kemudian bertugas sebagai Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid di SRB St. Teresa, Kuching dari 1995-2000. Pada tahun sama berpindah pula menjadi Penyelia Petang di SRK Semariang, Petra Jaya, Kuching 2000-2001 dan kemudian menjawat Penolong Kanan Kurikulum sehingga bersara pada tahun 2005. Sepanjang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran beliau juga memegang jawatan Penyelia Ekonomi Rumah Tangga Negeri Sarawak selama tujuh tahun.

Minat menulis sejak dari bangku sekolah lagi sehingga ke maktab perguruan dalam genre cerpen, puisi, esei, rencana dan kritikan namun karya beliau hanya mula disiarkan di akhbar tempatan seperti Utusan Sarawak dan akhbar perdana Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Utusan Melayu Mingguan (Jawi) dan Majalah Wanita dari tahun 1999 hingga sekarang. Kini ahli KEPEZI, (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) dan Ahli Jawatankuasa PEKASA (Persatuan Karyawan Sarawak) sejak ditubuhkan tahun 2005, namun menjadi ahli biasa kebelakangan ini.

Pengiktirafan manis bagi beliau adalah apabila menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pendidikan 1996, Anugerah Penghargaan Penulis Sarawak selama tiga kali tahun 2001 (puisi), 2008 (cerpen) dan 2009 (cerpen) dari Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan Naib Johan Sayembara Menulis Cerpen sempena sambutan 50 tahun DBP. Selain itu menerima Pingat Pangkuan Negara dari Yang Di Pertuan Agung pada 27 Januari 2004 di Istana Negara Kuala Lumpur merupakan pengalaman paling manis serta Pingat Perkhidmatan Setia dari Kerajaan Negeri 2003.



Sunday, July 13, 2008

Menjadi Tetamu SMK Batu Kawa

Saya telah menjadi tetamu (tiada rasmi) pelajar-pelajar Cikgu Jais (CJ)di SMK Batu Kawa pada pagi Khamis lepas (10.7.08), pada sesi pelajar berjumpa penulis. Kebetulan ada pameran dan jualan buku di sekolah oleh Sy Sinar Suci, termasuklah novel Tirani antara novel selain buku-buku kerja. Bagi saya, CJ menjemput saya bukan kerana hebatnya saya namun lebih bermatlamat memberi inspirasi kepada pelajar sasteranya bahawa usia bukan penghalang berkarya dan menghasilkan karya. Saya kagum melihat keterujaan pada wajah-wajah muda dan terus terang memaklumkan di mana sahaja CJ berada di situlah pelajar menjadi aktif dengan kegiatan sastera dan perbahasaan, apa lagi beliau munsyi dewan. Persamaan saya dengan mereka, sama-sama pelajar (walaupun saya bekas) CJ.

`

Melawat sekolah mengembalikan nostalgia kecikguan saya. Tidak ada yang baru namun saya hanya tambah tip-tip yang diwajari selaku penulis dan paling menarik, ya, kena rajin membaca terutama Mohd. Kamus (istilah yang CJ gunakan, spontan membuat saya melihat sekeliling kalau-kalau ada lelaki lain di situ masa itu). Pengetua di situ hebat, menjadi pendorong nombor wahid, selain Cikgu Ri, yang menungkap "Inilah pertama kali saya berjumpa author- selain CJlah", dia seronok. Ini mengimbau kenangan pertama kali saya bersua penulis walaupun di alam siber cuma, masa itu tahun 1999, iaitu Zaharah Nawawi dan Azmah Nordin, novelis Sabah yang produktif. {semasa melawat London saya pernah bergambar dengan patung lilin-penulis idola author Agatha Christie-di Madame Thussard (harap ejaannya betul) Museum, justeru mengaitkan langkah pertama bernama minat dengan mutiara kata 'memulakan sesuatu adalah separuh daripada pekerjaan'.Harap Cikgu Ri mengikuti jejak CJ menjadi novelis ++.

Salam sastera,

Beb

1 comment:

tirani said...

Hari ini terasa seronok sedikit, berita bergambar Beb Sabariah di SMK Batu Kawa disiarkan di sebuah laman akhbar Utusan Sarawak (US)31.7.2008. Saya difahamkan juga SMK BK memang mempunyai ramai penulis rencana untuk akhbar atas didikan CJ dan Sdra Radin Azhar, wartawan US, kedua-duanya rakan dalam PEKASA. Tahniah, situasi menang-menang.