HAJAH Bibi Sabariah Bt. Hj. Abang Awet menggunakan nama samaran Beb Sabariah, lahir di Kampung Hulu Pusa Saribas, Bahagian Betong pada 7 November 1949. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Pusa Saribas (Darjah 1-4) dan SRK Enche’ Buyong Kuching (Darjah 5-6) dan pendidikan menengah di Madrasah Melayu (dulu dikenali James Brooke Malay College) Tingkatan 1-3, kemudian keseluruhan pentadbiran sekolah tersebut berpindah ke SMK Green Road sehingga mendapat sijil Senior Cambridge tahun 1966.

Memperolehi Diploma Pendidikan Guru dalam jurusan Sains, Muzik dan Matematik dari Maktab Perguruan Rajang, Bintangor (1968-1969), dan Ekonomi Rumah Tangga dari Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Baharu (1987). Beliau pernah mengajar di SK Semarang, Saribas (sebagai Guru Sandaran tahun 1967), Sekolah Combined Beladin (first posting setelah tamat latihan perguruan)1970-1971, SMB St.Augustine Betong(1972-1973) dan SMK Tun Abang Haji Openg Kuching (1974-1986). Tahun 1988-1994 beliau bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Simpang Tiga selaku Penyelia Sekolah, kemudian bertugas sebagai Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid di SRB St. Teresa, Kuching dari 1995-2000. Pada tahun sama berpindah pula menjadi Penyelia Petang di SRK Semariang, Petra Jaya, Kuching 2000-2001 dan kemudian menjawat Penolong Kanan Kurikulum sehingga bersara pada tahun 2005. Sepanjang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran beliau juga memegang jawatan Penyelia Ekonomi Rumah Tangga Negeri Sarawak selama tujuh tahun.

Minat menulis sejak dari bangku sekolah lagi sehingga ke maktab perguruan dalam genre cerpen, puisi, esei, rencana dan kritikan namun karya beliau hanya mula disiarkan di akhbar tempatan seperti Utusan Sarawak dan akhbar perdana Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Utusan Melayu Mingguan (Jawi) dan Majalah Wanita dari tahun 1999 hingga sekarang. Kini ahli KEPEZI, (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) dan Ahli Jawatankuasa PEKASA (Persatuan Karyawan Sarawak) sejak ditubuhkan tahun 2005, namun menjadi ahli biasa kebelakangan ini.

Pengiktirafan manis bagi beliau adalah apabila menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pendidikan 1996, Anugerah Penghargaan Penulis Sarawak selama tiga kali tahun 2001 (puisi), 2008 (cerpen) dan 2009 (cerpen) dari Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan Naib Johan Sayembara Menulis Cerpen sempena sambutan 50 tahun DBP. Selain itu menerima Pingat Pangkuan Negara dari Yang Di Pertuan Agung pada 27 Januari 2004 di Istana Negara Kuala Lumpur merupakan pengalaman paling manis serta Pingat Perkhidmatan Setia dari Kerajaan Negeri 2003.



Sunday, August 30, 2009

Syukur Dapat Menikmati Dunia Malaysia Setakat ini....Salam Kemerdekaan

TABUH 52

Kita harus tahu berterima kasih

Budi pengasas

Merintis jalan sukar menuju merdeka

Membidik nikmat mensasar makmur

Menuai emas kesyukuran

Menempuh kini

Separuh kurun kian selesa

Betapa adab dalam tamadun

Menyedar kita

Melayak tatang daulat di bumi sendiri.

Kita harus faham dalam mengingati

Siapa tunjang menyiah puing

Melurus jalan membina damai

Mencorak maju bangsa kita

Seperti adanya kini.

Kita harus menatang kenang

Keringat bakti sewangi dupa

Menyemarak harum sempurna

Membina sarana meraih harmoni

Berterima kasih kita mengangkat seru

Oda pujijanji buat pelopor perintis jalan senang

adi wangsa sempurna

segar sentiasa mengiring dekad.

Gegak tegar Tabuh 52

bergenta dalam pembangunan

menyemarak rasa hebat

lantang kita bertepik sorak

selagi sendak menunjang kekal

gema terus menyisih jauh

sejarah gedembai berwajah pucat

sewaktu waktu kita dijadikan batu.

Beb

Kuching/ SARAWAK.

Sempena Hari Merdeka 31 Ogos 2009.

Tuesday, February 17, 2009

Dalam Seminggu

1.Satu kelahiran baru dalam keluarga, lahirnya puteri Amy yang diberi nama Alia Sofea, seberat 3.2kg, sihat dan merah jam 2.00 petang Sabtu 14 Februari 2009 di Hospital Putrajaya, sempena Hari Kekasih bagi yang merayakannya, bersamaan 18 Safar 1430H.Saya rasa amat bersyukur kerana kedua-duanya sihat.
2. Saya pergi ke Kampung Pusa Saribas pada hari Ahad 15 Feb, kampung halaman untuk membaharui lesen tanah peninggalan orang tua di hujung kampung Debak. Urusan dibuat di pejabat Tanah dan Servei di Betong. Kena tungga tiga bulan lagi untuk dapatkan surat tanah tersebut.
3. Balik ke Kuching dari Saribas pada petang16 Feb, kebetulan kakak dan abang ipar Hj Salleh menumpang sama yang bakal menerima anugerah BBS daripada TYT Negeri Sarawak di Astana pada 18 Februari 2009.
4. Akan berambeh di rumah anak di Kajang mulai 19 Feb. beberapa hari, tak tau bila pula nak balik semula, mungkin seminggu atau lebih...demi anak. Sedih juga mengenangkan anak tinggal jauh dari rumah di Semenanjung, termasuk seorang di Kelang, seorang di Petaling Jaya.
5.Kerja menulis akan diteruskan juga walaupun sibuk, mungkin akan kurang melibatkan diri dalam persatuan dan sebab lain juga.
6. Membaca untuk menulis satu amalan sihat mengelak 'mental block', justeru dalam seminggu cuba menghayati karya Akhdiat K. Miharja- Debu Cinta Bertebaran dan karya Arena Wati-Meniti Kala. Selaku penulis baru (karyapun belum seberapa), saya cuba menghayati kekuatan karya mereka; apa yang saya dapati; pertama kekuatan bahasa, kedua kebijaksanaan menyalur fikiran ke atas kertas sehingga gambaran cerita terlihat jelas (showing bukan telling=ungkapan yang sering diingatkan kepada penulis baru, mula-mula mencebur diri dulu). Saya dambakan peningkatan dalam karya; insyaAllah buku kedua bakal lahir tahun ini....
BS

Saturday, December 27, 2008

Memanfaatkan Ruang dan Masa.

ADA banyak juga manfaatnya berada dalam ‘musim jerebu’ sekitar 1997-1999. Pada masa-masa tertentu keadaan di segenap pelusuk negara diselubungi asap berjerebu sehingga ke tahap indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 800. Ini disebabkan pembakaran hutan oleh petani pindah seperti di Sarawak serta pembakaran hutan berleluasa di negara jiran seperti Sumatera bagi Semenanjung. Pada masa itulah terpaksa terperuk sahaja dalam rumah bagi mengelak daripada terkena penyakit mata, sakit paru-paru dan seumpamanya. Hendak ke pasarpun rumit jauh sekali untuk pergi berwisata. Masa itu saya mempunyai banyak masa melayari internet. Saya masuk sembang sastera dalam Forum Kelab Maya Sastera Malaysia (KMSM), selain itu Kelab Maya Sastera Sarawak (KMSS) serta Sarawak Talk.
Secara kebetulan saya ‘bersua’ beberapa penulis menggunakan nama samaran antaranya Uyauyi dan Ohlala. Kami bersembang dan usik mengusik (dalam batas judul forum tentunya) lalu kami semakin akrab walaupun hanya bersua di alam siber. Cakap punya cakap kata orang rupa-rupanya saya bertemu penulis dan ‘author’ buku yang sudah banyak kali naik podium menerima hadiah dan anugerah hasil penulisan masing-masing. Apabila tingkap pengenalan diri semakin tersingkap barulah saya dapat tahu rupa-rupanya Uyauyi itu Zaharah Nawawi (ZN), penulis tersohor, pengarang besar tanah air juga penerima Anugerah S.E.A Writes (1996) di Bangkok dan Ohlala rupa-rupanya Azmah Nordin novelis Sabah yang juga amat prolifik. Hati saya menjerit keseronokan kerana bukan mudah ‘bertemu’ pengarang yang sudah ada nama tambahan pada masa itu, saya amat memandang tinggi profesion penulis apatah lagi yang bergelar pengarang@novelis. Ya Allah, seronok dan untungnya saya (kerana sekian lama mengimpi jadi penulis dan pengarang dan kedudukan ZN bagi saya bagaikan bintang di langit tinggi)! Saya semakin teruja. Lalu saya mengantur langkah berjumpa Uyauyi (sempena nama manja dua ekor anak kucing manja beliau, Uya dan Uyi). Ohlala, sayang sekali belum pernah bersua muka walaupun banyak kali mengunjungi Kota Kinabalu dan bertanya-tanya kenalan lain. Saya menjadi ahli Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) mulai tahun 2002 apabila menyertai bengkel penulisan karya kreatif bimbingan beliau di Rumah PENA. Semenjak itu telah menghasilkan beberapa cerpen yang turut disiarkan di akhbar Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Utusan Melayu Mingguan, Dewan Sastera, Majalah Wanita selain akhbar tempatan Utusan Sarawak yang mana kini sedang dikompilkan untuk Kumpulan Cerpen pertama saya berjudul Mawar Magenta (dalam proses terbitan DBP). Melalui bimbingan beliau juga sekumpulan 14 ahli KEPEZI telah berjaya menghasilkan novel masing-masing dengan dana DBP dan diterbitkan pada pertegahan 2007 hingga awal 2008. Saya amat berterima kasih kerana memberi bimbingan serta mengedit novel TIRANI (24 bab) saya dari awal bab hingga bab akhir dengan 350 halaman. Selain itu, dengan kerjasama DBP, ZN telah banyak ‘menghasilkan’ penulis baru selain memantapkan penulis lama melalui beberapa siri bengkel bimbingan di merata tanah air. Saya amat berterima kasih kepada kedua-dua penganjur iaitu DBP pusat juga cawangan dan sudah tentu KEPEZI. Selain itu saya berterima kasih kepada sifu terawal saya Jais Sahok, pembimbing penulisan cerpen, Saiee Driss genre puisi dan Hazami Jahari dalam penulisan rencana. Moga guru-guruku diberkati Allah sepanjang masa. Saya juga tak lupa kenalan lain di alam siber, Abang Long, Cotigogilo, Hasyuda, Ramli A.Rahim, Nanang dll. Selamat menyambut Maal Hijrah 1430H/29 Disember 2008.

Thursday, December 25, 2008

TIRANI TERKINI

Salam buat rakan penggemar blog (ini dan yang lainnya),
Lama sudah nak bagi komen tentang ulasan Saiee Driss, hanya kini baru ada kesempatan. Terdapat sedikit kelemahan teknikal (ejaan dan fakta) dalam percetakan pertama TIRANI 2008, yang paling ketara di halaman 121....'perang saudara dengan kaum Iban dari Sekerang 200 tahun lalu' (bukan 2000 tahun). Ada terdapat kesilapan dalam komen pengulas mengenai kemasyhuran Socrates, memang benar berlaku dalam kurun ke-9 selepas Masehi (halaman 114), bukan Kurun 19 seperti ditulis pengulas.
Saya berharap akan dapat membuat pembetulan pada percetakan kedua nanti, kerana setakat ini syukur Alhamdulillah, PUSTAKA NEGARA telah membeli Tirani terus dari penulis sebanyak1098 naskah.
BS

Thursday, September 25, 2008

Saya mengintai di jendela Motivasi Pagi dua hari lepas, kata motivator; berkawan dengan tiga peringkat usia banyak manfaatnya, daripada generasi lama kita harus meminta, dengan rakan segenarasi kita harus berkongsi dan kepada generasi baru, kita harus memberi.
Buat rakan blogger di mana-mana saya mengucapkan Selamat Berpuasa dan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri maaf lahir batin. Di mana-mana kita berada kita akan melihat bulan yang sama, salam Syawal.
KB
{kini tujuh likur}

Tuesday, September 9, 2008

Utusan Maut

Seseorang lelaki telah didatangi oleh malaikat Izrail, iaitu malaikat yang mencabut nyawa.

Lelaki:Adakah kedatanganmu ini sebagai kunjungan biasa atau untuk mencabut nyawaku?
Izrail: Kunjungan biasa.
Lelaki: Demi persahabatan kita, jika telah dekat ajalku nanti, kirimlah utusan untuk memberitahuku.

Suatu hari Izrail datang untuk mencabut nyawanya. Lelaki tersebut terkejut.

Lelaki: Bukankah belum pernah ada utusanmu datang memberitahuku tentang perkara ini?
Izrail: Sudah datang, bahkan beberapa kali. Bukankah tulang punggungmu bongkok padahal sebelum ini lurus. Rambutmu memutih walhal sebelum ini hitam. Suaramu gementar sedang dahulu lantang. Bahkan akhir-akhir ini kau lemah dahulunya kau kuat. Penglihatanmu kabur sedang dahulunya terang. Aku telah mengirim sekian banyak utusan kepadamu padahal kamu hanya minta satu utusan. Oleh itu kamu janganlah menyalahkan aku.

-ingin mengambil iktibar daripada cerita ini-

Friday, September 5, 2008

Mawar Magenta: Sejuk Hati

Waalaikumussalam,
Terima kasih buat adinda-adinda SD dan Ust.Azman. Syukur dikurniakan sihat untuk dapat berinteraksi di sini. Moga kita sama-sama memanfaatkan ilmu melalui ruang maya ini. PC kak bermasalah tiga minggu lepas.

Selamat berpuasa
KB